Sunday, January 31, 2010

27 Jan 2010

SINGAPURA

DIDAPATI SALAH DERA PEMBANTU RUMAH

Wanita dihukum penjara 12 bulan, anak pula enam bulanOlehNurulhuda S. M. Albukhari
SEORANG wanita dan anak lelakinya didapati bersalah mendera pembantu rumah mereka antara 17 dengan 19 Februari 2007.

Munirah Abdullah, 47 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan sementara anaknya, Mohamed Sirat Abu, 28 tahun, menerima hukuman penjara selama enam bulan.
Ibu empat anak yang dilihat menangis teresak-esak sebelum perbicaraan dimulakan, menghadapi tiga tuduhan, manakala anak sulungnya satu tuduhan.
Mahkamah diberitahu, Munirah menuduh amahnya, Cik Luluk Wiji Utami, 30 tahun, mencuri wangnya di flatnya di Sengkang pada 17 Februari 2007.
Apabila anaknya, pegawai penguatkuasaan dengan syarikat keselamatan Certis Cisco, Mohamed Sirat Abu, 28 tahun, pulang pada malam itu, amah itu dipanggil ke bilik dan disoal.
Munirah, seorang ibu tunggal, dan anak sulungnya itu lalu menampar dan menendang Cik Luluk.
Mereka juga memegang rambutnya dan menghayunkan kepalanya. Keesokan harinya, Munirah menyoal pembantu warga Indonesia itu mengenai wang yang hilang itu lagi. Apabila amah itu menafikan bahawa beliau mencuri, Munirah menumbuk mata kirinya.

Pada hari ketiga pula, Munirah menggunakan sudip besi untuk memukul pembantunya di tangan hingga ia pecah kerana tidak berpuas hati dengan cara amahnya membersihkan salah satu kipasnya.
Dia kemudian menggunakan sudip besi yang sudah patah itu untuk mencucuk bibir, paha kanan dan paha kiri mangsa.
Dalam permohonan mereka kepada Hakim Daerah, Encik Roy Neighbour, peguambela emak dan anak itu, Encik Rudy Marican, meminta mahkamah meringankan hukuman.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa ibu tunggal yang penyayang itu berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk semput yang teruk dan kronik selain masalah kewangan.
'Kerana masalah mereka, Munirah berkelakuan seperti itu, sementara Sirat risaukan keadaan ibunya yang sering mengadu kepadanya. Mereka sangat menyesal,' ujar Encik Rudy
1) Berikan reaksi kamu setelah membaca artikel ini.
2) Pada pendapat kamu, apakah yang sepatutnya dilakukan oleh majikan dalam setiap situasi-situasi yang berlaku?
3) Sekiranya kamu menjadi hakim, apakah hukuman yang kamu fikir setimpal yang akan dijatuhkan terhadap majikan tersebut? Mengapa?

Sunday, January 17, 2010

Wanita Petrol

Keratan akhbar di bawah ini dipetik daripada Berita Harian. ======================================================

Wanita meninggal lepas bakar diri sebab anak degil

NIBONG TEBAL (Pulau Pinang): Ibu tujuh anak yang membakar diri selepas mencurah petrol ke badannya minggu lalu kerana dikatakan marah dengan sikap anak perempuannya, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star, malam Jumaat lalu. Cik Rossliana Rosli, 33 tahun, yang melecur 54 peratus badannya dalam kejadian Sabtu minggu lalu, disahkan meninggal dunia pada 8.30 malam, genap seminggu selepas kejadian itu yang menyebabkan mangsa koma.

Jenazah yang tiba di Masjid Kampung Besar, Sungai Kechil, di sini sekitar 9.30 pagi kelmarin, selamat dikebumikan di tanah perkuburan bersebelahan masjid itu. Suami Allahyarhamha Rossliana, Encik Marzuki Jamaludin, 39 tahun, berkata beliau ke HSB selepas dimaklumkan keadaan isterinya yang tenat, tetapi sebaik tiba mereka diberitahu mangsa sudah meninggal dunia.

'Walaupun sedih, saya reda dengan ketentuan-Nya,' katanya.Dalam kejadian Sabtu lalu, Allahyarhamah Rossliana bertindak nekad mencurah badannya dengan petrol sebelum membakar dirinya menggunakan api lilin.

Encik Marzuki, seorang pengawal keselamatan di sebuah kilang, berkata sebelum kejadian, beliau dijemput Allahyarhamha Rossliana dengan motosikal sekitar 8.30 malam dari tempat kerjanya kira-kira 13 kilometer dari rumahnya.

Apabila tiba di rumah, Allahyarhamah Rossliana yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, terus ke rumah ibunya, kira-kira 100 meter dari rumahnya untuk memanggil pulang anak keduanya yang berusia 15 tahun.

Difahamkan, berlaku pertengkaran di antara Cik Rossliana dengan anak serta ibunya menyebabkan beliau bertindak nekad membakar dirinya. Mangsa dipercayai mengalami tekanan perasaan berikutan sikap anak perempuannya itu yang tidak mahu mendengar nasihatnya dan sering menimbulkan masalah.Ketika kejadian, enam daripada tujuh anaknya yang berusia dua hingga 17 tahun turut berada di rumah. -- BMM, Metro Ahad.

Baca dengan teliti dan berikan jawab soalan-soalan yang diberi berpandukan isi-isi berikut:-

a) Berikan komen kamu tentang tindakan yang telah diambil oleh ibu tersebut?

b) Pada pendapat kamu adakah anaknya yang degil itu akan berubah sikap setelah melihat
keadaan ibunya?

c) Sekiranya kamu ialah teman lepada anak mangsa tersebut, apakah nasihat yang akan
kamu berikan kepadanya setelah peristiwa malang ini terjadi?

Selamat mencuba :~)
Jangan Stress :~#