Sunday, January 30, 2011

Amalkan dulu sebelum menyuruh orang lain

Pelajar yang dihormati,

Masih ingat dengan tema yang sedang kita bincangkan tentang masalah sosial remaja?
Sila baca artikel yang saya lampirkan berkenaan dengan tema ini. Dengan tidak kurang daripada 100patah perkataan, sila berikan komen anda .

30 Jan 2011
SYIAR
Buat baik: Amal dulu sebelum suruh orang lain
Oleh ZALI SAINI

SEKS bebas merupakan satu penyakit yang sukar diubati' kerana dimanjakan' oleh sesetengah remaja. Malah, bagi yang berpasangan (sedang berkasih), mereka menganggapnya sebagai satu kemestian.

Malangnya, mereka kurang memperhatikan risiko sebenar kerana 'kenikmatan menutup segala keperitan dan kesengsaraan'.

Untuk membantu remaja ini, setiap individu (kaunselor/asatizah) yang berlibat dalam membetulkan tanggapan yang silap ini harus menjadi seorang pemain', dan bukan jurulatih yang mengarahkan itu dan ini.

Sebagai pemain', individu itu harus mampu berjuang di samping remaja-remaja tersebut.
Ibu bapa pula harus membuka mata bukan hanya dalam keadaan sedar, tetapi juga setelah melelapkan mata.

Mereka harus memainkan peranan lebih aktif seperti memberi rang undang-undang bertulis' kepada setiap anak remaja.

Catatkan segala undang-undang kekeluargaan yang dirasakan wajar untuk dilaksanakan bersama.

Contohnya, jam berapa harus bangun untuk solat subuh, bila harus pulang ke rumah atau keluar bersama rakan-rakan.

Rang undang-undang itu harus ditandatangani berserta tarikhnya sekali agar ia menjadi satu bukti jika terjadi perselisihan.

Kaedah ini telah dilaksanakan beberapa ibu bapa yang mahukan satu sistem hormat-menghormati di antara anak remaja dengan mereka.
Alhamdulillah, ia membuahkan hasil.

Para ibu bapa juga harus bertindak seperti CID' (polis). Maksud saya, mereka hendaklah memeriksa beg dan saku anak-anak setiap kali pulang ke rumah dengan harapan tiada benda-benda yang tidak diingini dibawa masuk ke dalam rumah.

Ini memberi isyarat kepada remaja bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya membawa balik barang-barang yang tidak baik ke rumah. Mereka akan lebih berwaspada dan berhati-hati.

Soal solat, berat. Soal nak suruh belajar agama, payah. Yang penting, ibu bapa harus memulakan perbuatan yang baik sebelum menyuruh anak-anak mereka.
Bapa tidak solat, tapi suruh bersolat. Aneh bukan?

Ada sesetengah ibu bapa berleter menyuruh anak remaja mereka belajar agama, tetapi mereka sendiri tidak melangkahkan kaki ke kelas agama.
Bagi remaja pula, mereka harus lebih peka tentang kehidupan mereka. Mereka harus merubah apa yang perlu diubah.

Mereka tidak boleh menuding jari ke arah orang lain. Buat baik bukan kerana orang, buat salah jangan salahkan orang.

Para remaja harus menjaga kehormatan dan maruah diri mereka di mana sahaja mereka berada.

Jangan cepat terpedaya dengan ajakan teman anda yang menjadi wakil-wakil iblis'.
Empat perkara ini mungkin dapat membantu:

Pertama; Usah berkawan dengan teman-teman yang tidak baik. Pilihlah teman yang peka dengan waktu solat walaupun berada di tengah-tengah bandar yang sibuk. Pilihlah teman yang mampu menegur segala kesilapan yang tidak disengajakan. Teguran membina, membawa perubahan yang bahagia.

Kedua; Jangan pergi ke tempat tidak elok. Teman yang baik tidak akan melangkahkan kaki ke tempat seperti pub, disko, kelab karaoke, tempat minuman keras dan sebagainya.
Ketiga; Jangan cuba-cuba nak buat jahat. Ingat, teman jahat sentiasa mengajak melakukan perbuatan jahat. Mereka mahu teman-teman mereka bersekongkol dalam kejahatan agar mereka dilihat sebagai kumpulan yang besar dan bergaya.

Keempat; Jangan bangga dengan perbuatan jahat. Sekiranya anda berbuat salah, mohon ampun kepada Allah dan minta pertolongan ibu bapa. Mereka berdua adalah sebaik-baik tempat untuk memberi nasihat dan menyediakan jalan keluar.

Saya bangga apabila Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) memainkan peranan dalam membantu menjana remaja terbilang di negara kita.

Namun, ia tidak akan menjadi kenyataan sekiranya semua yang terlibat hanya mahu menjadi jurulatih' atau menjadi pengarah' saja.

Banyak lisan yang diutarakan tapi di mana keberkesanannya?

Peranan ini tidak harus dimainkan oleh masjid-masjid sahaja. Malah pusat pendidikan agama swasta juga dapat memainkan peranan kerana ramai remaja menimba ilmu di institusi tersebut.
Dari sini, kita harus memulakan acara memancing' dan mendidik mereka tentang kepentingan memilih teman agar mereka dapat menjadi DUTA di kalangan mereka sendiri. Teman bukan untuk hari ini dan esok, tetapi untuk selama-lamanya.

Nota: Penulis adalah Perunding Motivasi Remaja Kaunselor/ Penceramah Tetap NPC-OLMS@ Focus Consultancy & Motivation Services

Sunday, April 4, 2010

1) Sila lihat klip video ini.

2) Berikan komen anda berdasarkan kreativiti yang ditunjukkan oleh idiola-idiola ini.

3) Pada pendapat anda adakah kreativiti itu penting bagi pelajar? Mengapa?

( jawab sekurang-kurangnya 180 patah perkataan)

Selamat mencuba dan jawab dengan menggunakan kreativiti yang tinggi. : ~)

Wednesday, March 31, 2010

Sila ingat kembali pelajaran yang lepas berkenaan dengan puisi Ini Nasi Yang Kusuap.
Baca semula, hayati dan berikan tafsiran anda.

Ini nasi yang kusuap
pernah sekali menjadi padi harap
melentok dipuput angin pokoknya kerap
tenang berisi tunduk menatap
Ini butir nasi yang kukunyah
sedang kutelan melalui tekak basah
jadi dari darah mengalir
dalam badan gerak berakhir
Angin kencang mentari khatulistiwa
membakar raga petani di sawah
panas hujan dan tenaga masuk kira
dan nasi yang kusuap campuran dari manusia
Ini budi yang kusambut
pemberian lumrah beranting dan bertautini
nasi hasil dari — kerja
kembali pada siapa yang patut menerima
Jadi yang kumakan bukan berasal dari nasi
tapi peluh, darah, dalam isi mengalir pasti
jadi kutelan bukan berasal dari padi
tapi dari urat dari nadi seluruh pak tani

~ Masuri S.N~

Selamat mencuba

Sunday, January 31, 2010

27 Jan 2010

SINGAPURA

DIDAPATI SALAH DERA PEMBANTU RUMAH

Wanita dihukum penjara 12 bulan, anak pula enam bulanOlehNurulhuda S. M. Albukhari
SEORANG wanita dan anak lelakinya didapati bersalah mendera pembantu rumah mereka antara 17 dengan 19 Februari 2007.

Munirah Abdullah, 47 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan sementara anaknya, Mohamed Sirat Abu, 28 tahun, menerima hukuman penjara selama enam bulan.
Ibu empat anak yang dilihat menangis teresak-esak sebelum perbicaraan dimulakan, menghadapi tiga tuduhan, manakala anak sulungnya satu tuduhan.
Mahkamah diberitahu, Munirah menuduh amahnya, Cik Luluk Wiji Utami, 30 tahun, mencuri wangnya di flatnya di Sengkang pada 17 Februari 2007.
Apabila anaknya, pegawai penguatkuasaan dengan syarikat keselamatan Certis Cisco, Mohamed Sirat Abu, 28 tahun, pulang pada malam itu, amah itu dipanggil ke bilik dan disoal.
Munirah, seorang ibu tunggal, dan anak sulungnya itu lalu menampar dan menendang Cik Luluk.
Mereka juga memegang rambutnya dan menghayunkan kepalanya. Keesokan harinya, Munirah menyoal pembantu warga Indonesia itu mengenai wang yang hilang itu lagi. Apabila amah itu menafikan bahawa beliau mencuri, Munirah menumbuk mata kirinya.

Pada hari ketiga pula, Munirah menggunakan sudip besi untuk memukul pembantunya di tangan hingga ia pecah kerana tidak berpuas hati dengan cara amahnya membersihkan salah satu kipasnya.
Dia kemudian menggunakan sudip besi yang sudah patah itu untuk mencucuk bibir, paha kanan dan paha kiri mangsa.
Dalam permohonan mereka kepada Hakim Daerah, Encik Roy Neighbour, peguambela emak dan anak itu, Encik Rudy Marican, meminta mahkamah meringankan hukuman.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa ibu tunggal yang penyayang itu berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk semput yang teruk dan kronik selain masalah kewangan.
'Kerana masalah mereka, Munirah berkelakuan seperti itu, sementara Sirat risaukan keadaan ibunya yang sering mengadu kepadanya. Mereka sangat menyesal,' ujar Encik Rudy
1) Berikan reaksi kamu setelah membaca artikel ini.
2) Pada pendapat kamu, apakah yang sepatutnya dilakukan oleh majikan dalam setiap situasi-situasi yang berlaku?
3) Sekiranya kamu menjadi hakim, apakah hukuman yang kamu fikir setimpal yang akan dijatuhkan terhadap majikan tersebut? Mengapa?

Sunday, January 17, 2010

Wanita Petrol

Keratan akhbar di bawah ini dipetik daripada Berita Harian. ======================================================

Wanita meninggal lepas bakar diri sebab anak degil

NIBONG TEBAL (Pulau Pinang): Ibu tujuh anak yang membakar diri selepas mencurah petrol ke badannya minggu lalu kerana dikatakan marah dengan sikap anak perempuannya, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star, malam Jumaat lalu. Cik Rossliana Rosli, 33 tahun, yang melecur 54 peratus badannya dalam kejadian Sabtu minggu lalu, disahkan meninggal dunia pada 8.30 malam, genap seminggu selepas kejadian itu yang menyebabkan mangsa koma.

Jenazah yang tiba di Masjid Kampung Besar, Sungai Kechil, di sini sekitar 9.30 pagi kelmarin, selamat dikebumikan di tanah perkuburan bersebelahan masjid itu. Suami Allahyarhamha Rossliana, Encik Marzuki Jamaludin, 39 tahun, berkata beliau ke HSB selepas dimaklumkan keadaan isterinya yang tenat, tetapi sebaik tiba mereka diberitahu mangsa sudah meninggal dunia.

'Walaupun sedih, saya reda dengan ketentuan-Nya,' katanya.Dalam kejadian Sabtu lalu, Allahyarhamah Rossliana bertindak nekad mencurah badannya dengan petrol sebelum membakar dirinya menggunakan api lilin.

Encik Marzuki, seorang pengawal keselamatan di sebuah kilang, berkata sebelum kejadian, beliau dijemput Allahyarhamha Rossliana dengan motosikal sekitar 8.30 malam dari tempat kerjanya kira-kira 13 kilometer dari rumahnya.

Apabila tiba di rumah, Allahyarhamah Rossliana yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, terus ke rumah ibunya, kira-kira 100 meter dari rumahnya untuk memanggil pulang anak keduanya yang berusia 15 tahun.

Difahamkan, berlaku pertengkaran di antara Cik Rossliana dengan anak serta ibunya menyebabkan beliau bertindak nekad membakar dirinya. Mangsa dipercayai mengalami tekanan perasaan berikutan sikap anak perempuannya itu yang tidak mahu mendengar nasihatnya dan sering menimbulkan masalah.Ketika kejadian, enam daripada tujuh anaknya yang berusia dua hingga 17 tahun turut berada di rumah. -- BMM, Metro Ahad.

Baca dengan teliti dan berikan jawab soalan-soalan yang diberi berpandukan isi-isi berikut:-

a) Berikan komen kamu tentang tindakan yang telah diambil oleh ibu tersebut?

b) Pada pendapat kamu adakah anaknya yang degil itu akan berubah sikap setelah melihat
keadaan ibunya?

c) Sekiranya kamu ialah teman lepada anak mangsa tersebut, apakah nasihat yang akan
kamu berikan kepadanya setelah peristiwa malang ini terjadi?

Selamat mencuba :~)
Jangan Stress :~#