27 Jan 2010
SINGAPURA
DIDAPATI SALAH DERA PEMBANTU RUMAH
Wanita dihukum penjara 12 bulan, anak pula enam bulanOlehNurulhuda S. M. Albukhari
SEORANG wanita dan anak lelakinya didapati bersalah mendera pembantu rumah mereka antara 17 dengan 19 Februari 2007.
Munirah Abdullah, 47 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan sementara anaknya, Mohamed Sirat Abu, 28 tahun, menerima hukuman penjara selama enam bulan.
Ibu empat anak yang dilihat menangis teresak-esak sebelum perbicaraan dimulakan, menghadapi tiga tuduhan, manakala anak sulungnya satu tuduhan.
Mahkamah diberitahu, Munirah menuduh amahnya, Cik Luluk Wiji Utami, 30 tahun, mencuri wangnya di flatnya di Sengkang pada 17 Februari 2007.
Apabila anaknya, pegawai penguatkuasaan dengan syarikat keselamatan Certis Cisco, Mohamed Sirat Abu, 28 tahun, pulang pada malam itu, amah itu dipanggil ke bilik dan disoal.
Munirah, seorang ibu tunggal, dan anak sulungnya itu lalu menampar dan menendang Cik Luluk.
Mereka juga memegang rambutnya dan menghayunkan kepalanya. Keesokan harinya, Munirah menyoal pembantu warga Indonesia itu mengenai wang yang hilang itu lagi. Apabila amah itu menafikan bahawa beliau mencuri, Munirah menumbuk mata kirinya.
Pada hari ketiga pula, Munirah menggunakan sudip besi untuk memukul pembantunya di tangan hingga ia pecah kerana tidak berpuas hati dengan cara amahnya membersihkan salah satu kipasnya.
Dia kemudian menggunakan sudip besi yang sudah patah itu untuk mencucuk bibir, paha kanan dan paha kiri mangsa.
Dalam permohonan mereka kepada Hakim Daerah, Encik Roy Neighbour, peguambela emak dan anak itu, Encik Rudy Marican, meminta mahkamah meringankan hukuman.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa ibu tunggal yang penyayang itu berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk semput yang teruk dan kronik selain masalah kewangan.
'Kerana masalah mereka, Munirah berkelakuan seperti itu, sementara Sirat risaukan keadaan ibunya yang sering mengadu kepadanya. Mereka sangat menyesal,' ujar Encik Rudy
1) Berikan reaksi kamu setelah membaca artikel ini.
2) Pada pendapat kamu, apakah yang sepatutnya dilakukan oleh majikan dalam setiap situasi-situasi yang berlaku?
3) Sekiranya kamu menjadi hakim, apakah hukuman yang kamu fikir setimpal yang akan dijatuhkan terhadap majikan tersebut? Mengapa?